Monday, May 30, 2011

Kisah di sebuah hutan nusantara

Tersebut al- kisah di sebuah belantara, nun di pelusuk nusantara di mana para penduduknya merupakan binatang-binatang yang bijak berbicara dan petah berkata-kata. Pada ketika itu, Singa masih belum ditabalkan sebagai Raja Binatang, yang menjadi Raja kepada segala binatang pada ketika itu adalah Dinosour. Mungkin kerana Dinosour mempunyai kerangka otak yang lebih besar, usia hayat yang panjang serta jauh pemandangan sehingga berjaya membuat kerjasama filem Dinosaur terlaris seantero dunia.

Dinosour merupakan pemerintah yang bijak, haiwan-haiwan mendapat cukup makan termasuklah ulat di dalam batu. Boleh dikatakan binatang-binatang hidup senang tanpa ada masalah besar. Pada ketika itu, monyet-monyet mendapat projek-projek pembangunan dan pengurusan ladang-ladang pisang, pusat servis bulu dan kutu. Kucing-kucing terbiar mendapat bantuan Friskies (walaupun bukan Royal Canin). Tidak lupa juga anjing-anjing mendapat jawatan sebagai barisan pengawal hutan (macam dalam filem "UP") hinggakan tiada binatang yang dapat lepas lari walaupun khabarnya ada juga anjing senang diberi roti di tepi-tepi jalan. Pada ketika itu, Keldai dilantik sebagai hakim (kerana Keldai sanggup menanggung beban) dan banyak juga Chihuahua yang memegang jawatan peguam (kerana Chihuahua antara binatang yang paling hensem pada zaman itu).

Walaupun Dinosour pemerintah yang bijak, namun ada binatang-binatang yang sering menuding jari kepada Dinosour dan barisan kedinosouran nasional. Kambing Gurun asyik mengembek, Sang Serigala yang asyik menyalak kononya rindukan bulan. Pada ketika itu, bulan tetap berwarna putih dan hutan memang berwarna hijau.
Namun Dinosour tetap gah, membuat pembangunan hutan dan memberikan ilmu kepada hampir setiap binatang.Hampir semua binatang mempunyai akaun Facebook kecuali burung yang memilih untuk menggunakan Twitter. Suara Dinosour lantang, akal Dinosour tajam. Dinosour bukan hanya bersuara, tetapi pelaksana. Walaupun Dinosour digelar diktator atau kuku besi, namun Dinosour ada wawasan dan bergerak lancar atas landasan. Dinosour pada mulanya melantik Kuda sebagai penggantinya kerana Kuda bijak berbicara. Namun Kuda telah didapati bersalah kerana terlalu banyak memakan pil kuda, kacang kuda dan minyak Kuda. Mungkin juga kerana Kuda tidak sabar untuk menjadi pelakon utama dalam filem Jurassic Park. Kuda akhirnya ditempatkan di kandang sementara sehingga dos kekudaan menurun. Kata Dinosour, ini adalah rumusan Keldai-Keldai dan juga hasil bicara Chihuahua -Chihuahua pada ketika itu. Correct! Correct! Correct!, tiada kita tahu tahap kebenarannya, tanyalah nanti Keldai dan Chihuahua bila mereka pencen nanti.
Kerana terlalu lama memerintah, Dinosaour terpanggil juga akhirnya untuk berundur. Atau mungkin berehat. Dinosour memilih Beruang sebagai penggantinya. Bulu beruang bersih, gigi beruang bersih (iklan ubat gigi Fresh & White) . Beruang juga nampaknya gagah dan berpotensi. Memang benar pada mulanya, banyak binatang menyokong beruang termasuk semut dan cipan. Namun selepas seketika, Beruang menuju ke musim hibernasi. Mungkin kerana usia beruang dan tahap kesihatan beruang. Berlaku pergolakan rusuhan binatang hinggakan banyak kerosakan alam flora dan fauna. Beruang pernah berucap "bulldog kata jangan...". Maka beruang pun menyerahkan secara tidak langsung pucuk pimpinan kepada menantunya iaitu Kijang Jantan. Kijang Jantan nampaknya bijak, mukanya segak dan berpendidikan tinggi juga. Namun binatang-binatang lain mula mengumpat (terutama yang tak hensem seperti lipan, cengkerik dan biawak). Banyak rungutan disuarakan, terutamanya dalam Facebook/youtube bilamana hasil hutan mulai merosot, kos membeli buah-buahan meningkat. Monyet-monyet pula tak dapat banyak kontrak import export pisang. Monyet hanya mendapat sedikit bahagian dalam pengurusan eksport belacan yang hanyalah "hype" semata-mata.


Dinosour turut campur tangan kerana barisan pentadbiran Beruang dikatakan tidak bijak menguruskan hutan dan Beruang sering berhibernasi sedangkan hutan pawana melanda. Dinosour mula menyerang beruang atas dan bawah, katanya sebenarnya bulu beruang tidaklah bersih, gigi beruang tidaklah seputih seperti iklan ubat gigi Fresh & white. Beruang mungkin harus bertukar kepada Zaitun, supaya rakyat boleh guna tanpa was-was.Akhirnya Beruang akur juga dan berundur dengan baik. Beruang pun sebenarnya nampak macam tak kisah, kerana yang penting jangan diganggu hibernasinya. Beruang pun macam Aiman tak kisah. Pengganti Beruang adalah Tenuk yang nampaknya agresif untuk cuba mengembalikan keharmonian hutan rimba melalui rancangan satu hutan. Namun pada hakikatnya rancangan satu hutan amat susah untuk berlaku kerana ada banyak spesis dan jenis-jenis hutan dalam hutan itu. Ada hutan rimba, hutan hujan tropika, hutan monsun tropika, hutan belukar dan lain-lain. Malah babi hutan juga tidak setuju, kerana apabila berlaku satu hutan, nama babi hutan sudah tidak lagi diguna pakai. Manakan sama babi hutan dengan babi bandaran.

Kuda yang terlepas daripada kandang sementara kini mengambil kesempatan untuk menerajui hutan, langkah untuk ke Hutanjaya. Kuda tetap agresif biar digalas pelbagai pelana cerca. Atau sesungguhnya memang kuda suka berpelana caca merba. Kita tidak tahu, pada ketika ini, masyarakat hutan juga tidak tahu. Tentu ada yang tahu. Sang sesumpah juga suka bersumpah-sumpah. Maka banyaklah spesis Sesumpah ini tampil membuat persembahan.

Apa arah tuju kuda sebenar? Apa Kuda, Kambing dan Serigala boleh menerajui hutanjaya. Apa ada dalam sejarah percintaan tiga segi ini berakhir ke jinjang pelamin. Apa ada kacukan Kuda, Kambing dan Serigala ? Apa yang jelas di sini Kuda memang agresif dan banyak pengikut terutamanya penggemar lumba kuda dan penjual pelana. Debat Kuda memang hebat, andai dilaungkan , mungkin lari Datuk Hang Jebat. Kuda mempunyai suara yang lantang dan tak mudah tumbang walaupun sakit tulang belakang. Siapakah yang akan menerajui Hutanjaya nanti, apakah Kuda, atau sebaliknya. Kisah kekudaan Kuda belum berakhir rupanya, wujud pula aksi Kuda bersama Panda. Tenuk dan rakan-rakan, termasuk Kijang Jantan harus cuba bertahan, apakan tidak nanti Tenuk mungkin di hantar ke Zoo Mongolia, atau Kijang Jantan di hantar ke mulut buaya, dan apa akan jadi pada Dinosour dan Dinosourismnya. Apa pula landasan untuk Wawasan Dinosour Dinosour.
Tapi apa pun kebenarannya, yang jelas masyarakat hutan sudah menuju ke arah yang berbeza daripada perjuangan asal bagi membentuk hutan yang sejahtera untuk semua. Hutan ciptaan Tuhan dicipta untuk pelbagai jenis binatang dan penghuni alam. Zoo bukanlah habitat sebenar penghuni-penghuni hutan ini, tapi bila tiada kesepakatan, tiada arah tujuan, terlalu asyik melayar hutan, terlalu asyik kekudaan, maka binatang buas yang lebih gerun sedia menanti untuk memiliki hutan ini. Maka tidak mustahil zoo menjadi kediaman. Tidak mustahil hutan belantara terhapus oleh kebakaran. Kerana pesan warisan kita, anak kecil jangan main api, terbakar hatinya yang sepi.
Dan mungkin ketika itu barulah sang penghuni sedar bahawa hutan sudah tiada. Dan pada ketika itu barulah sang Singa tercari-cari, ke mana mahkotanya selama ini. Tiada siapa yang untung bila tiada sagu lagi dari sang ruyung. Apa yang dikejar mungkin beribu tahun lagi. Kasihanilah penghuni kecil yang hanya melihat tingkah sang dewasa. Janganlah terlalu bernafsu seperti sesetengah binatang hingga hutan digadaikan, belantara dilenyapkan.

Sempena cuti sekolah ini, bawalah adik-adik, anak-anak, sanak-saudara melawat Zoo Negara atau menonton Kung Fu Panda bahagian kedua.
Kisah di atas hanyalah dongengan untuk fikir dan bicara, dan tidak ada kena mengena atau bermaksud mengena yang hidup ataupun mati terutamanya makhluk-makhluk di Zoo Negara , Zoo Taiping ataupun Parlimen Negara. Moga coretan ini menjadi bukti pada anak-anak bangsa, bahawa bukan semua pewaris-pewaris mereka sanggup menggadai negara, tidur dan alpa. Khas untuk Mohd Adam Fariz & Intan Denissa.

No comments:

Post a Comment

Vision Accomplished

Vision Accomplished