Friday, January 8, 2010

Filem Melayu Kita

Salam 1Malaysia,

1. Ini adalah kali pertama saya cuba membuat ulasan filem dalam blog, tak termasuklah ulasan lisan pada rakan-rakan. Jadi segala kekurangan dimulakan dengan ampun dan maaf. Sesungguhnya saya melihat, menghidu, merasa, menyentuh dengan pancaindera saya , dalam komuniti saya dan dalam dunia saya yang serba terhad.
2. Namun saya merasakan ada keperluan untuk saya menyentuh tentang filem ini kerana bagi filem Melayu, jalan penceritaan filem Setem, kualiti warna dan gambar, kreatif sudut penggambaran, lakonan serta dialog filem ini sangat mengkagumkan saya sebagai pengemar filem dan drama, luaran mahupun tempatan. Tetapi saya bukannlah "Hardcore" filem, masih banyak filem-filem yang belum saya tontoni.
3. Saya juga pengiat dalam bidang fotografi, jadi saya amat apresiatif terhadap estetika sesuatu persembahan.

4. Saya perlu berterus terang bahawa saya bukanlah pengemar filem-filem melayu, tetapi ada beberapa filem yang benar-benar saya rasakan mencapai tahap penceritaan yang cemerlang. Ini filem kedua Khabir Bhatia yang saya rasakan mempunyai nilai seni yang tinggi. Filem pertama adalah Cinta. Juga sangat berkualiti nilai seni dan lain-lain aspek perfileman. Penggabungan isi cerita dan kesinambungan bersilang dalam filem tersebut adalah usaha yang saya anggap "genius" dan pelaburan masa yang sangat tinggi. Ingin benar saya mengenali saudara Khabir Bhatia dengan lebih dekat. Liputan mengenai beliau amat terhad dalam internet. Saya pula bukan jenis yang membeli majalah hiburan, hanya mendapat maklumat dari mulut ke mulut. "Thumbs Up" to Mr Khabir Bhatia .


5. Bagi rakan-rakan yang belum menonton, bolehlah saya membuat sedikit ringkasan mengenai Filem Setem ini. Filem Setem ini mengisahkan tentang dua orang sahabat, Joe dan Sidik yang dibesarkan di rumah amal. Mereka berdua mencari makan dengan menipu (Conman). Sehinggalah mereka tertipu dalam usaha menipu. Ideanya mungkin hampir sama macam filem Hollywood (yg pernah saya tontoni tetapi saya tidak ingat judulnya) tetapi pembawaan cerita dan watak-watak menjadikannya ia lebih Malaysian atau Asian. Yang lebih menarik adalah gabungan pelakon-pelakon pelbagai bangsa yang sangat "natural" , geng bakso indonesia, geng tosai - India , Geng Piranha - Gengstar Cina / Ah Long dan Geng Teraniaya - dua beradik yg dilakonkan oleh Que Haidar dan Vanida Imran. Pelakon favourite saya adalah Piranha Lim dengan loghat Utara campur Selatan. Pengarah telah membuat "homework"nya dengan baik di mana muka-muka baru dapat memberikan penghayatan dengan baik walaupun tidak 100%.
6. Saya rasakan Khabir Bhatia adalah seorang yang gifted, hardworking , committed & determined terhadap kerjaya beliau. Saya benar-benar tidak tahu berapa kutipan filem ini. Publisiti juga tidaklah begitu menyengat jika dibandingkan dengan filem-filem Melayu yang lain, yang mana persembahan seninya tidak seberapa jika dibandingkan dengan Setem , pada pandangan, mata hati saya.

7. Selalunya setiap plot yang berturutan dalam filem Melayu sering dapat dijangka tindakan atau acuannya, namun dalam filem Setem ini saya amat kagum terutamanya plot akhir di mana kumpulan multi-racial ini bersatu untuk menjatuhkan watak jahat berbangsa Inggeris. Tindakan yang ringkas tetapi padat.

8. Dan pengakhiran cerita juga amat menarik di mana pengarah membuat satu pusingan atau rumusan melibatkan kesemua watak-watak yang terlibat, termasuk watak Aziz Satar yang pada awalnya dijangkakan hanya sekejap. "Linkage" ini rasanya adalah kekuatan filem "Khabir Bhatia". "Linkage" yang sama saya perhatikan dalam filem Cinta.

9. Saya juga peminat filem P Ramlee, sesungguhnya filem-filem Tan Sri P Ramlee adalah tergolong dalam filem Retro Klassik dan bukannya untuk dibandingkan dengan filem-filem hari ini.
10. Tidak dinafikan filem-filem Yasmin Ahmad juga mempunyai "signature" tersendiri. Saya juga tabik hormat untuk filem dokumentari iklan arahan beliau berkenaan Hari Kemerdekaan. Saya juga menyampaikan tahniah peribadi melalui Facebook kepada saudara Norman Abdul Halim atas usaha syarikatnya mengenengahkan teknik CGI dalam industri filem Malaysia. Juga kalungan syabas untuk Les Copaques Production yang menerbitkan Upin & Ipin. Ianya benar-benar pencetus revolusi seni dan pendidikan minda peringkat rendah. Jauh lebih baik daripada anak-anak kita hanya mengenali Mickey Mouse, Donald Duck atau Optimus Prime.

No comments:

Post a Comment

Vision Accomplished

Vision Accomplished