Saturday, December 24, 2011

Teknik pernafasan mulut ke mulut , pendengaran telinga ke telinga.

Dalam kehidupan seharian, terlalu banyak maklumat yang kita perolehi. Daripada internet, suratkhabar, bahan cetakan lain dan yang paling kerap adalah melalui percakapan mulut ke mulut. Sogokkan peralatan canggih hari ini seperti smart-phone, tablet, netbook, laptop meledakkan atau memangkin proses ini dengan lebih eksponential ke seluruh pelusuk platform komunikasi , desa, bandar, kota metropolitan, institusi pengajian , sekolah-sekolah, malah di lorong-lorong taman perumahan.

Atas pemerhatian saya , masyarakat kita terutamanya orang Melayu sangat berkecenderungan untuk mendapat atau menerima maklumat-maklumat terutamanya tentang keburukan atau kekurangan orang lain. Dan yang lebih parah, mereka sering percaya bulat-bulat tanpa membuat sebarang kajiselidik, pengesahan dan bertanya sendiri tuan yang empunya tentang sesuatu perkara. Saya juga ada bertanya kepada rakan-rakan yang berbangsa Cina dan India sama ada situasi sebegini muncul dalam masyarakat mereka, ironinya, mereka menyatakan perkara yang sama juga berlaku, mungkin dengan kaedah atau magnitud yang berbeza. Pemerhatian saya mungkin agak sempit, iaitu melalui bahan-bahan bacaan dan ruang-ruang terdahulu yang pernah saya lalui seperti zaman persekolahan, institusi kekeluargaan, institusi kejiranan, ruang kerja , jaringan sosial (social network seperti Facebook, Twitter, Myspace etc)  dan seumpama dan sewaktu dengannya.

Mungkin sebab itu apa-apa berita yang muncul dalam internet, klip video mahupun perbualan audio sangat mudah menular ke dalam masyararakat. Topik-topik seperti itu dijadikan sandaran untuk dibincangkan di meja-meja kedai kopi, di ruang pejabat malah di dalam masjid ataupun surau.

Atas pemerhatian dan penelitian saya juga (* tiada bukti saintifik) , memang terdapat golongan-golongan  manusia yang telah terlatih untuk menyebarkan berita-berita sensasi ini. Ibarat sehari tidak berkata buruk, tidak lengkaplah hidupnya. Terlatih di sini bermaksud tabiaat atau sikap yang telah lama di bawa oleh individu-individu tersebut, mungkin sejak dari kecil , bangku sekolah atau zaman remaja. Untuk mengubah orang-orang sebegini amatlah sukar kerana amalan tegar mereka berulang-ulang dan menjadi darah daging. Namun fokus saya di sini bukanlah untuk mengubah mereka, tetapi mengubah diri kita menerima kehadiran  mereka di dalam masyarakat. Menerima mereka seadanya dan tidak menjadi sebahagian daripada mereka. Mereka tetap kawan atau keluarga kita, namun kita perlu lebih berhati-hati dalam menghadapi individu-individu ini. Kita mendoakan agar dipercepatkan proses kesedaran dalam diri mereka agar masyarakat akan menjadi lebih aman dan tenteram.

Kalau dahulu, mitosnya, orang perempuan seringkali dikaitkan dengan tabiaat membawa mulut ini, tetapi sebenarnya golongan lelaki juga tidak kurang banyaknya. Sebagai contoh, saya pernah mengikuti suatu kumpulan rukun tetangga berdekatan kawasan  kediaman saya, sepanjang malam semasa membuat "patrolling", ada beberapa karektor dalam kumpulan itu sangat suka menceritakan keburukan jiran-jiran, bermula dari satu rumah ke satu rumah. Ironinya, ada telinga-telinga yang sudi mendengar. Jadi situasi ini adalah saling lengkap dan melengkapi. Mesej saya di sini adalah proses membawa mulut ini memerlukan dua pihak , sekurang-kurangnya dua pihak. Maka jika kita tidak dapat mengawal mulut seseorang, sekurang-kurangnya kita boleh mengelakkan diri kita daripada menjadi penerima. Saya memilih untuk tidak mendengar, tidak menyambut dan tidak memberikan "approval gesture" kepada golongan-golongan ini. Kadangkala, biarlah orang mengatakan kita sombong, berdiam diri dan tidak memberikan reaksi bila orang bercerita. Kadangkala dalam sesuatu majlis, saya lebih suka bersendirian kerana ruang yang kosong seringkali dijadikan forum untuk mencetuskan "al-kisah, al-alkisah" yang tidak baik.

Contoh kedua, semasa transformasi remaja dan proses mengenal dunia , saya juga tidak terlepas daripada terlibat dalam golongan ini. Hampir  segala-galanya bermula di meja teh tarik. Ada tukang karut dan ada pula penonton. Saya selalunya teribat dalam menjadi penonton dan pendengar setia. Hampir setiap hari sekumpulan rakan-rakan kami akan berkumpul, dan tukang karut selalunya orang yang sama atau karektor yang hampir sama. Tanpa disedari, kadangkala virus tukang karut akan turut menyerap ke dalam minda kita dan secara automatik kita juga akan menjadi seperti mereka. Di asrama kolej dahulu, hampir setiap hari ada persidangan tidak rasmi, namun isu bawa mulut  tentang keburukan orang lain amat kurang, kecuali wujud kes yang sahih dan tertentu. Semasa menjadi pelajar dahulu, yang selalu mendapat kritikan selalunya bukan rakan-rakan, tetapi pensyarah yang "kedekut markah" atau "killer". Mungkin budaya pelajar dulu, kalau nak kutuk, kata saja depan-depan, dan selalunya kawan-kawan ok. Namun , ada juga yang tak ok, tak tahan...hmm... itulah manusia, rambut sama hitam, hati lain-lain.

Ada banyak perkara sekiranya diteliti, ditimbal periksa , disiasat betul-betul, ianya berkemungkinan besar bukan apa yang kita fikirkan semasa maklumat mula-mula diperolehi. Sebagai manusia biasa, kita mungkin berkecenderungan untuk berfikiran "stereotype" atau " preset values", terhadap sesuatu kumpulan lain, individu lain, fahaman lain, kepercayaan yang lain dan sebagainya. Mungkin juga masyarakat kita malas untuk mengambil usaha kedua menyelidik maklumat, jadi apa yang diberikan , maka itulah maklumat sahih. Malangnya, maklumat-maklumat tidak betul, tidak sahih atau separa lengkap ini memecah-belahkan agama, bangsa , kekeluargaan , persahabatan dan sebagainya. Malah ada sesetengah kes, perpecahan antara ibu dan anak sendiri akibat intervensi yang melampau.


Sebagai blogger, saya hanya menyampaikan apa yang berada di minda dan pemerhatian dari semasa ke semasa. Dan sudah tentu , bagi saya, semasa proses penulisan ini, beberapa individu muncul dalam kotak fikiran dan saya tersenyum sendirian mengenangkan insiden-insiden yang pernah berlaku dalam hidup saya. Kebelakangan ini, bila "social network" menjadi satu platform komunikasi, saya melihat masyarakat kita tidak terlepas daripada kegelinciran moral yang menjurus kepada pembawaan mesej yang negatif, maklumat yang tidak sahih dan penaburan fitnah yang tidak terkawal. Saya bersimpati kepada rakan-rakan atau individu-individu yang menjadi mangsa "open attack" dalam "social network" yang kadang-kala tiada kesudahannya. Pada pendapat saya, "open attack" yang berunsur peribadi adalah lebih baik ditujukan secara tertutup atau bersemuka supaya mendapat penjelasan (sekiranya niat adalah untuk menyelesaikan masalah). Itu adalah lebih baik daripada menabur kisah-kisah yang tidak baik ( belum tentu kesahihannya) dan menanam benih di minda ratusan orang lain yang mungkin tidak tahu menahu akan hujung pangkal cerita. Kata maaf memang boleh diunjurkan selepas isu sebenar dikupas, tetapi bayangkan serpihan-serpihan dan parut-parut yang ditinggalkan, tidak mudah untuk disembuhkan.

Ibarat kata seorang rakan senior ,"...hidup ini bukannya lama sangat , entah esok lusa mungkin giliran kita. Nak buat baik sesama rakan, jiran atau keluarga pun masa kita kat atas dunia. Di akhirat nanti , kita tidak tahu nasib kita. Maka lebih baik bersangka baik, berbuat baik dan cuba untuk memaafkan orang lain, di sekeliling kita, sementara mereka masih ada.





No comments:

Post a Comment

Vision Accomplished

Vision Accomplished