Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang gemar ke pawagam untuk menonton filem (terutamanya filem-filem tempatan). Bagi saya, cukuplah sekadar menonton di Astro, Youtube Premium , Netflix dsb. Namun, fenomena filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan agak luar biasa. Ianya telah berjaya menjentik hati saya berulang kali untuk memaksa diri hadir ke kerusi pawagam untuk menonton sendiri. Sekiranya saya tidak suka sekalipun, tentu ada sesuatu yang boleh saya pelajari dan dapat menafaat daripada tontonan filem ini.
Secara jujurnya , saya tidak pernah ke pawagam untuk menonton filem-filem karya saudara Syamsul Yusuf sebelum ini. Mungkin genre pilihan beliau tidak menarik minat saya (Genre Seram, Polis, Gengster) . Tetapi yang lebih nyata adalah saya agak kecewa dengan kualiti atau jalan cerita kebanyakan filem-filem tempatan (yang saya tonton sebelum-sebelum ini di pawagam). Kali terakhir saya berada di pawagam adalah untuk menonton sebuah filem genre Adiwira tempatan, sekitar tahun 2015. Rasanya tidak perlu saya sebutkan nama filem tersebut, tetapi cukuplah sekadar saya mengatakan bahawa, saya cuma mampu bertahan selama 30 min di pawagam dan terus beredar meninggalkan panggung. Sejak daripada pengalaman itu, saya agak keberatan untuk melaburkan duit dan masa bagi menonton filem-filem tempatan. Namun, tidak dinafikan, ada juga filem-filem tempatan yang menarik dan berkualiti dari segi jalan cerita dan idea, tetapi kebiasaannya akan dipertontonkan semula di TV/Astro waktu musim perayaan.
Berbeza dengan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan , strategi pemasaran di media sosial serta data kutipan telah menunjukkan sesuatu yang luar biasa tentang filem ini. Sejujurnya, dua minggu pertama, saya telah beberapa kali cuba untuk hadir ke pawagam, namun setiap kali saya ingin membeli e-ticket, tidak banyak kekosongan kerusi (lokasi strategik atau kerusi favourite). Maka semalam 16 Julai 2022, rasanya setelah hampir sebulan tayangan, saya menempah tiket serta memaksa diri untuk hadir ke pawagam slot 11.30 pm. Untuk mengelak kekecewaan yang berulang, saya telah membuat penetapan minda yang filem ini pasti tidak mencapai piawaian peribadi saya seperti mana yang pernah berlaku bagi filem-filem tempatan sebelum ini. Saya juga bertanya pendapat dua orang anak saya yang telah menonton filem Mat Kilau, seorang (anak lelaki berumur 18 tahun) berpendapat filem ini amat menghiburkan kerana banyak aksi dan seorang lagi (anak perempuan berumur 19 tahun) berpendapat " Top Gun Maverick " lebih menghiburkan. Saya juga mengambil kira pendapat rakan-rakan di media sosial , yang kebanyakannya memberikan ulasan yang positif.
Setelah menonton filem ini , berikut adalah ulasan jujur peribadi saya dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu :
Pemilihan barisan pelakon (7/10) :
Watak Awang ( 7/10) lakonan Fattah Amin, bagi saya tidaklah memberikan satu impak sebagai watak separa hitam yang kembali putih. Beliau, sebagai watak ketiga utama mungkin perlu diberikan lebih aura untuk mengusik emosi penonton. Mungkin umur seperti saya bukanlah sasaran penonton (Target Audience) untuk filem ini, namun saya melihat dari sudut yang lebih besar bagi sebuah filem yang mengutip jutaan ringgit.
Watak-watak hitam seperti Captain Syers ( 5/10) , Toga (5/10) seolah-olah tidak begitu berkesan dalam membangkitkan kemarahan (saya) apabila menonton plot-plot mereka. Contohnya , sebagai watak hitam, karekter Toga sepatutnya saya visualkan sebagai seorang yang sasa , berbadan tegap dan berwajah garang atau berperwatakan psikotik (tidak banyak bercakap). Namun , perwatakan beliau lebih sesuai untuk watak-watak "side-kick comedian". Aksi silat beliau juga tidak menampilkan "Wow Factor" atau "Fuyoo" bagi saya. Saya faham strategi mengambil pelakon Indonesia bagi menempah tiket ke seberang, tapi biarlah bersesuaian dengan watak. Watak pembunuh upahan perlu ada karekter tersendiri dan peminat tersendiri. Lihat sahaja watak seperti Darth Vader, Darth Maul , Lex Luthor, Freddy Kruger, Magnetto, Joker (versi Heath Ledger) dan lain-lain. Watak-watak hitam ini merupakan intipati penting dalam sesebuah filem besar yang ada peminatnya tersendiri.
Disudut yang lain pula ,(maaf cakap), secara zahirnya , ada juga terasa seperti melihat barisan pelakon filem Gerak Khas the Movie (tanpa kehadiran Sarjan Linggam, Inspektor Aliza dan Inspektor Mazlan). Sememangnya filem ini mempunyai genetik Yusof Haslam atau Skop Production , maka tidak hairanlah barisan pelakon yang dimasukkan adalah daripada jaluran genetik yang hampir sama. Saya tidak ada masalah sekiranya lakonan mereka berkesan, cumanya sebagai penonton yang dibesarkan dengan gerak khas , tidak dapat tidak saya terfikir akan perkara tersebut. Maafkan saya sekali lagi wahai Syamsul Yusof.
Seterusnya, watak-watak wanita dalam filem ini agak tidak menepati citarasa peribadi saya atau bukanlah satu formula sebuah filem besar yang epik. Tidak ada satu figura wanita yang menonjol (bukan mendedah atau seksi, tetapi merujuk kepada karekter yang kuat dan memberikan impak di hati penonton). Mungkin kemunculan Ellie Suriaty pada plot permulaan ada sedikit memberikan kekuatan karekter (itupun setakat ON PAR jika dibanding dengan lakonannya di drama-drama TV) , namun watak beliau dimatikan pula di awal kisah. Saya juga merujuk kepada tarikan wajah fizikal (commercial look) untuk mengimbangi wajah komersial Dato' Adi Putra. Sekali lagi, mohon maaf kepada pembaca kerana ini adalah pendapat peribadi saya. Malah saya langsung tidak dapat mengenali mereka (watak-watak wanita) ketika menonton adegan perbualan antara suami isteri . Setelah saya Google, barulah saya perasan watak Rokiah lakonan Zarina Zainoordin peserta AF2 serta Farah Ahmad (memang saya tidak mengenali beliau mungkin sebab saya jarang sekali tengok drama Melayu). Namun , lakonan Farah Ahmad (Yang Chik) agak baik jika dilihat dari sudut komunikasi jelas. Tetapi sepertimana yang dikatakan, ianya tidak dapat mengimbangi watak Dato' Adi Putra. Watak Rokiah (lakonan Zarina Zainoordin) , pada pendapat saya tidak sampai ke tahap mengimbangi lakonan Beto Khusairy yang sangat profesional dalam menyampaikan sesuatu watak. Kalau diikutkan strategi pemasaran (Marketing Strategy), patut saja dimasukkan pelakon-pelakon seperti Emma Maembong, Janna Nick ataupun watak kontroversi Ira Kazar dalam filem ini sebagai watak-watak penggoda kepada Mat Kilau dan rakan-rakannya atau mungkin sebagai tali barut British. Konsep Tiga "TA" : Wanita, Harta dan Taktha. Oklah tambahkan TA seorang lagi, Rozita Che Wan.
Plot dan Penceriteraan : ( 7/10)
Maaf, saya tidak boleh memberikan rating melebihi 7 kerana jalan cerita filem ini sepatutnya boleh diolah untuk menjadi lebih menarik dan dramatik. Saya tidak peduli berapa banyak kutipan filem ini, fakta tetap fakta.
Pada pendapat saya, pengarah boleh memulakan (intro) dengan menonjolkan sedikit ulangkaji (overview) tentang sejarah penjajahan British di seluruh dunia (dalam bentuk paparan mudah visual teknologi digital seperti dalam filem Indiana Jones) sehinggalah kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Plot ini penting untuk mendidik mereka yang mungkin tidak mengenali tentang sejarah penaklukan British di seluruh dunia.
Plot Mat Kilau dikejar dalam hutan : Pada mulanya , agak sukar bagi saya untuk memahami plot ini. Kenapa pula Mat Kilau dikejar dan melompat (hingga menampakan kasut Capal baru beliau). Setelah tamat plot, barulah saya faham adegan tersebut merupakan sesi latihan Mat Kilau dan rakan-rakannya di hutan. Saya terfikir juga , sepatutnya plot itu boleh digantikan dengan plot imbasan semula (flashback) tentang bagaimana Mat Kilau dan rakan-rakan mula-mula belajar ilmu persilatan ketika usia remaja mereka. Bagi saya plot ini adalah penting sebagai tulang belakang sokongan dan bukti tentang kemantapan Mat Kilau dan rakan-rakannya dalam ilmu persilatan dan pengajian agama Islam. Cara mudah boleh rujuk filem Conan the Barbarian atau Braveheart.
Plot Pembelotan Awang: Plot ini merupakan sesuatu yang boleh dijangka disebabkan ketidakpuasan hati beliau atas perlantikan Mat Kilau sebagai ketua, jadi tidak wujud sangat elemen kejutan (surprise elements) di situ. Wajah Awang pula agak "Baby Face" dan sinonim dengan gaya "Mat Bunga" atau "Office Guy" , impak kekalutan yang cuba dibawa beliau rasanya tidak begitu berkesan pada sudut sisi saya ketika menonton karekter beliau.
Plot British dan Tentera Sikh mencari Mat Kilau dan rakan-rakan
Plot ini umpama ulangan dalam plot intro di mana British mencari tiga pengacau (Mamat dan dua lagi rakan) . Kenapa perlu diulang plot yang hampir sama. Pergelutan antara Mat Kilau dan rakan-rakan bertempur dengan tentera British juga agak tergantung apabila watak Awang mencelah membuat perjanjian dengan tentera British.
Plot pembunuhan isteri Wahid (lakonan Beto Khusairy/Zarina Zainoordin) : Plot ini pula mengingatkan saya akan filem Kapsul (Lakonan Faizal Hussein) , Leftenan Adnan (Lakonan Hairie Othman) atau mungkin juga sedikit plot dalam Bukit Kepong (arahan Dato' Jins Shamsuddin). Sesuatu yang boleh dijangka dan tidak ada pembaharuan dalam "content" sesebuah filem aksi gaduh. Benar atau tidak ? Anda boleh nilaikan sendiri. Adegan Mat Kilau mencekup mulut Wahid boleh diberikan sedikit kredit kerana ianya berjaya membangkitkan suasana klimaks dan cemas.
Plot menyelamatkan Wahid dalam tawanan (lakonan Beto Khusairy) (6/10) : Jalan cerita tiada elemen kejutan. Seolah-olah melihat Rambo 2 di mana Julia Nickson menyelamatkan Rambo di kem tahanan. Babak mendera Wahid tidak cukup "Brutal" dan tiada pembaharuan babak. Aksi-aksi silat dengan Teknik Gegaran Skrin hanya memeningkan kepala saya. Letupan-letupan yang berlaku tidak cukup meletops. Masih banyak yang perlu dipelajari dari filem-filem Hollywood ataupun filem Hong Kong. Kami bayar duit, maka kami mahukan efek yang setimpal dengan harga tiket.
Plot berbincang dengan orang Kampung (Tok Gajah, Mat Kilau dan orang-orang Kampung) (3/10) : Plot ini agak lemah kerana watak-watak yang dipilih untuk bersuara umpama "Mat Pacak" yang dibayar gaji hari (maaf sebut) . Sungguhpun plot ini bukanlah elemen utama dalam penceriteraan Mat Kilau, sepatutnya pengarah lebih berhati-hati dalam menyelitkan watak-watak ini agar keseluruhan cerita tidak menjadi cacat.
Plot Akhir (serangan Mat Kilau dan rakan-rakan) : (6/10)
Latihan silat dalam gua mengingatkan saya kepada filem 6 Jahanam. Manakala aksi membuat jerangkap samar sangat sinonim dalam filem-filem aksi perang seperti Rambo, Predator , Home Alone dan seumpamanya. Jadi, merujuk kepada dua faktor ini, tiada pembaharuan idea sebenarnya.
Seterusnya aksi pertempuran antara Kumpulan Mat Kilau dan tentera British adalah lebih menyerupai filem Braveheart , The Patriot (lakonan Mel Gibsons). Malahan pertempuran di tengah padang dengan letupan bom tidak mengambarkan sesuatu yang epik. Ditambah pula dengan ulangan letupan bom dari "Arsenal" yang kelihatan low budget atau dipinjam dari muzium tempatan. Maaf, saya langsung tidak kagum (impress) dengan adegan-adegan perang tersebut, jika nak dibandingkan dengan paluan-paluan atau canang-canang mengenai filem ini yang kononnya rating 10/10. Maaf, saya tidak berpendapat sedemikian. Tapi , tentulah , sekiranya hendak dibandingkan dengan filem-filem tempatan yang lain , maka bolehlah jika hendak diberikan rating 10/10. Syamsul jangan putus asa, ini adalah cabaran untuk anda menghasilkan sesuatu yang lebih "World Class" di masa akan datang. Anda masih muda dan berada di trek yang betul. Teruskan usaha.
Pertempuran satu dengan satu antara Mat Kilau dan Toga juga kelihatan agak meleret dan tidak ada klimaks yang jelas. Saya tidak faham kenapa pengarah perlu memasukkan watak Wahid bertempur dua dengan satu. Sepatutnya, "highlight" atau penekanan patut diberikan kepada Mat Kilau (sebagai hero utama) untuk mengalahkan Toga , satu lawan satu, tanpa perlu campur tangan Wahid. Kecuali, pengarah/penerbit dengan sengaja ingin mematikan watak Wahid. Wallahu'alam. Filem anda, duit anda, ikut suka andalah. Saya hanya memberikan pendapat.
Pengakhiran cerita juga agak tergantung. Pengakhiran sesuatu cerita merupakan satu elemen yang amat penting dalam sesebuah filem dan penceritaan. Penutup perlu ada impak kepada penonton supaya kisah-kisah yang dipersembahkan melekat di jiwa penonton. Saya agak terkejut ketika babak akhir ini, pintu keluar panggung telah pun dibuka sewaktu Mat Kilau memberikan ucapan sambil memapah Wahid. Adalah lebih baik jika diselitkan sedikit elemen ulasan (high level), apa yang berlaku kepada Captain Syers dan British yang lain. Pengarah juga boleh menyelitkan adegan Captain Syre menulis surat permohonan bantuan dari Kerajaan British untuk menghantar lebih banyak senjata/tentera. Ianya sebagai "teaser" untuk sekuel Mat Kilau (jika ada). Anda fikir-fikirkan , nilai-nilaikan.
Efek Perfileman (Special Effect) / Cinematography : ( 7/10)
Diperingkat mula, suasana di tepi sawah, pengambaran filem kelihatan seperti sebuah dokumentari kampung. Bagi saya, 60 saat pertama sesebuah intro filem akan bermain di minda penonton, bertahun-tahun lamanya, maka dengan itu amat penting visual/audio di peringkat ini.
Seterusnya, sebagaimana yang dikongsi oleh ramai penonton, teknik gegaran kamera adalah berkemungkinan teknik yang dipilih pengarah untuk menghasilkan pengalaman dramatik penonton di tempat kejadian. Saya tidak boleh komen secara teknikal berkenaan perkara ini. Namun, jika kita lihat filem-filem luar seperti lakonan Tony Jaa, Jacky Chan, Jet Li , Jason Statham, Van Damme, mereka juga mempunyai teknik-teknik tersendiri dalam merakam visual serta aksi pergaduhan, tidak semestinya memerlukan teknik gegaran kamera sepanjang masa yang mungkin menyebabkan sesetengah penonton mual.
Efek lain seperti letupan , tembakan , parang , "stunts" dan "props", meletakkan sedikit tanda aras yang baru bagi filem-filem tempatan, namun masih belum mencapai piawaian filem-filem bertaraf Hollywood/Hong Kong. Saya boleh bagi rating penuh (10/10) untuk taraf filem tempatan , tetapi sekiranya kita melihat di peringkat antarabangsa , mungkin sekadar 6/10. Saya faham budget tidak sama. Tetapi harga tiket adalah sama antara Filem Mat Kilau dengan Filem Top Gun Mavericj (seingat saya adalah sama). Jadi masalah budget bukanlah sesuatu yang penonton mahu dengar sebagai alasan.
Adegan Mat Kilau berpisah dengan anak dan isteri (di air terjun) , mengingatkan saya pada filem Puteri Gunung Ledang di mana Hang Tuah bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Dari segi sinematogragi, adegan tersebut boleh diberikan kredit disebabkan elemen suasana semula jadi yang cantik, pencahayaan dan garapan warna yang menenangkan mata melihat.
Akhir sekali, saya baru perasan bahawa Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan tidak mempunyai Runut Bunyi atau OST ( Original Sound Track). Agak rugi kerana OST boleh membantu penonton mengimbau kembali momen-momen di sepanjang penceritaan itu. Lihat sahaja filem-filem besar seperti Star Wars, Braveheart , Titanic , Avengers , Zorro, Fast and Furious, kesemuanya tetap akan ada runut bunyi. Namun, sekali lagi, ini adalah hak penerbit , saya hanya menyuarakan pendapat. Saya sebagai pemuzik serta peminat OST, merasakan patut ada koleksi lagu-lagu untuk Filem Mat Kilau.