Friday, January 8, 2010

Filem Melayu Kita

Salam 1Malaysia,

1. Ini adalah kali pertama saya cuba membuat ulasan filem dalam blog, tak termasuklah ulasan lisan pada rakan-rakan. Jadi segala kekurangan dimulakan dengan ampun dan maaf. Sesungguhnya saya melihat, menghidu, merasa, menyentuh dengan pancaindera saya , dalam komuniti saya dan dalam dunia saya yang serba terhad.
2. Namun saya merasakan ada keperluan untuk saya menyentuh tentang filem ini kerana bagi filem Melayu, jalan penceritaan filem Setem, kualiti warna dan gambar, kreatif sudut penggambaran, lakonan serta dialog filem ini sangat mengkagumkan saya sebagai pengemar filem dan drama, luaran mahupun tempatan. Tetapi saya bukannlah "Hardcore" filem, masih banyak filem-filem yang belum saya tontoni.
3. Saya juga pengiat dalam bidang fotografi, jadi saya amat apresiatif terhadap estetika sesuatu persembahan.

4. Saya perlu berterus terang bahawa saya bukanlah pengemar filem-filem melayu, tetapi ada beberapa filem yang benar-benar saya rasakan mencapai tahap penceritaan yang cemerlang. Ini filem kedua Khabir Bhatia yang saya rasakan mempunyai nilai seni yang tinggi. Filem pertama adalah Cinta. Juga sangat berkualiti nilai seni dan lain-lain aspek perfileman. Penggabungan isi cerita dan kesinambungan bersilang dalam filem tersebut adalah usaha yang saya anggap "genius" dan pelaburan masa yang sangat tinggi. Ingin benar saya mengenali saudara Khabir Bhatia dengan lebih dekat. Liputan mengenai beliau amat terhad dalam internet. Saya pula bukan jenis yang membeli majalah hiburan, hanya mendapat maklumat dari mulut ke mulut. "Thumbs Up" to Mr Khabir Bhatia .


5. Bagi rakan-rakan yang belum menonton, bolehlah saya membuat sedikit ringkasan mengenai Filem Setem ini. Filem Setem ini mengisahkan tentang dua orang sahabat, Joe dan Sidik yang dibesarkan di rumah amal. Mereka berdua mencari makan dengan menipu (Conman). Sehinggalah mereka tertipu dalam usaha menipu. Ideanya mungkin hampir sama macam filem Hollywood (yg pernah saya tontoni tetapi saya tidak ingat judulnya) tetapi pembawaan cerita dan watak-watak menjadikannya ia lebih Malaysian atau Asian. Yang lebih menarik adalah gabungan pelakon-pelakon pelbagai bangsa yang sangat "natural" , geng bakso indonesia, geng tosai - India , Geng Piranha - Gengstar Cina / Ah Long dan Geng Teraniaya - dua beradik yg dilakonkan oleh Que Haidar dan Vanida Imran. Pelakon favourite saya adalah Piranha Lim dengan loghat Utara campur Selatan. Pengarah telah membuat "homework"nya dengan baik di mana muka-muka baru dapat memberikan penghayatan dengan baik walaupun tidak 100%.
6. Saya rasakan Khabir Bhatia adalah seorang yang gifted, hardworking , committed & determined terhadap kerjaya beliau. Saya benar-benar tidak tahu berapa kutipan filem ini. Publisiti juga tidaklah begitu menyengat jika dibandingkan dengan filem-filem Melayu yang lain, yang mana persembahan seninya tidak seberapa jika dibandingkan dengan Setem , pada pandangan, mata hati saya.

7. Selalunya setiap plot yang berturutan dalam filem Melayu sering dapat dijangka tindakan atau acuannya, namun dalam filem Setem ini saya amat kagum terutamanya plot akhir di mana kumpulan multi-racial ini bersatu untuk menjatuhkan watak jahat berbangsa Inggeris. Tindakan yang ringkas tetapi padat.

8. Dan pengakhiran cerita juga amat menarik di mana pengarah membuat satu pusingan atau rumusan melibatkan kesemua watak-watak yang terlibat, termasuk watak Aziz Satar yang pada awalnya dijangkakan hanya sekejap. "Linkage" ini rasanya adalah kekuatan filem "Khabir Bhatia". "Linkage" yang sama saya perhatikan dalam filem Cinta.

9. Saya juga peminat filem P Ramlee, sesungguhnya filem-filem Tan Sri P Ramlee adalah tergolong dalam filem Retro Klassik dan bukannya untuk dibandingkan dengan filem-filem hari ini.
10. Tidak dinafikan filem-filem Yasmin Ahmad juga mempunyai "signature" tersendiri. Saya juga tabik hormat untuk filem dokumentari iklan arahan beliau berkenaan Hari Kemerdekaan. Saya juga menyampaikan tahniah peribadi melalui Facebook kepada saudara Norman Abdul Halim atas usaha syarikatnya mengenengahkan teknik CGI dalam industri filem Malaysia. Juga kalungan syabas untuk Les Copaques Production yang menerbitkan Upin & Ipin. Ianya benar-benar pencetus revolusi seni dan pendidikan minda peringkat rendah. Jauh lebih baik daripada anak-anak kita hanya mengenali Mickey Mouse, Donald Duck atau Optimus Prime.

Thursday, January 7, 2010

29 tahun , 7 tahun : Kembali ke Sekolah : Pencetus Revolusi

Salam Sejahtera & Salam 1Malaysia,

Imbasan zaman sekolah dahulu :
Minggu lalu merekodkan lagi satu detik yang mengimbas kenangan hari pertama saya di sekolah 29 tahun yang lalu. Tapi kali ini saya pula yang memainkan peranan membawa anak sulung ke sekolah. Melangkah masuk ke sekolah sudah cukup memberi kenangan indah, getir bercampur baur.

29 tahun dahulu saya menjejak kaki ke sekolah dengan ditemani ibu, ayah , kakak dan dua orang abang. Bapa saya bekerja dan ibu saya barangkali memberi laluan kepada kakak dan dua orang abang saya untuk menjadi jurutunjuk dan menimba pengalaman. Kakak dan abang-abanglah yang membawa saya meninjau kantin, tandas, kedai buku dan lain-lain. Saya ditempatkan di Sekolah Rendah Temenggong Abdul Rahman Satu.

Melawat sekolah lama :

Dua tahun sudah saya berpeluang melawat kembali sekolah tersebut. Kebetulan saya mendapat tugasan selama tiga hari di Johor, jadi saya awal-awal lagi merancang untuk memandu ke sana. Tercapai jua hasrat saya melawat sekolah lama saya. Tibanya di pintu gerbang saya memberitahu pengawal tentang hasrat saya itu. Pengawal mengarahkan saya ke kantin, bertemu guru besar. Keadaan sekolah sudah jauh berbeza. Hanya satu bangunan sahaja dikekalkan. Selebihnya telah melalui proses modifikasi atau renovasi. Saya disambut baik oleh guru besar. Namun hasrat saya untuk mengambil gambar tidak dapat diteruskan. Pihak sekolah tidak membenarkan gambar-gambar diambil.

Masih jelas bermain dalam wayang minda bila mengimbas kembali pengalaman di sekolah tersebut. Terdapat dewan besar di hadapan pintu masuk. Pejabat disebelah belakang dewan, klinik gigi dan perpustakaan bertentangan dengan pejabat. Pernah sekali bapa saya lewat menjemput kerana urusan mesyuarat. Maklumlah dulu tiada telefon bimbit. Saya menangis kerana hampir kesemua murid telah pulang. Saya berjalan menuju ke pejabat. Saya dilayan oleh seorang kerani pejabat berbangsa cina. Saya masih ingat wajahnya, bercermin mata bingkai besar ala 60-an. Dia membantu saya menelefon ibu di rumah. Sejurus kemudian bapa tiba. Itu pengalaman getir semasa darjah satu. Saya juga pernah dibuli semasa darjah dua oleh seorang pengawas sekolah darjah lima semasa menunggu giliran untuk masuk ke dalam kelas. Saya masih ingat wajah budak itu yang memaki hamun saya. Mujurlah ada seorang pengawas lain menenangkan keadaan. Itu juga pengalaman getir di alam persekolahan.
Saya juga masih ingat pengalaman nakal. Saya pernah menolak seorang pelajar hingga tersungkur di bawah meja guru (anak tukang kebun sekolah). Namanya Ismail. Badannya kurus keding. Dia telah dengan sengaja menjatuhkan kotak pensil saya. Guru kelas pertama saya adalah Puan Maheswaran. Ismail terjatuh betul-betul di hadapan kaki Cikgu Maheswaran. Sejak hari itu murid-murid lain lebih berhati-hati bila bermain dengan saya atau harta benda kepunyaan saya. Ada juga yang mencemuh perbuatan samseng saya itu. Semasa darjah satu juga, saya ada seorang kawan bernama Syed Mahsyur. Dia ni jenis happy go lucky. Kerjanya ketawa dan buat "practical jokes". Dia sangat suka membuli seorang pelajar bernama Lim. Lim adalah pelajar Cina yang berpewatakan lembut. Setiap kali waktu rehat dia pasti akan membuat lawak praktikal ke atas Lim. Upacara kegemaran adalah menarik Lim ke belakang padang dan menolok Lim menyusuri bukit . Saya hanya ketawa melihat aksi mereka berdua. Jelas sungguh hingga ke hari ini "Flashback" 29 tahun yang lalu. Entah di mana individu-individu itu semua. 29 tahun telah berlalu.

Saya masih ingat, makanan pertama saya di kantion sekolah adalah Bihun Sup bergarga 50 sen. Ada seorang senior darjah lima, kenalan keluarga kami bernama Razak tolong belikan. Sejak hari itu hari-hari saya makan Bihun Sup. Sebab itu saja yang saya tahu beli.

Intan Denissa : Di alam persekolahan :





Anak sulung saya , "My only daughter" , Intan Denissa menjejakkan kaki ke sekolah beberapa hari sudah. Berbeza dengan saya, Intan lebih terdedah dengan alam persekolahan kerana sudahpun mengikuti kelas tadika selama dua tahun. Hampir setiapa hari dia bertanya bila pendaftaran "sekolah betul" akan bermula. Tadika ditafsirkan sebagai "sekolah tipu-tipu". Pada hari pertama, Intan nampaknya kurang selesa dengan persekitaran. Dia asyik mengadu tentang kelas. Kipas tak kena , panas, mengantuk dan sebagainya. Waktu rehat saya dan isteri membawa Intan ke kantin. Dia masih tidak tahu membawa diri. Mungkin atas sebab itu pihak sekolah tidak mahu ibu bapa berada di kawasan sekolah selepas seminggu kerana ia akan menyebabkan anak-anak terlalu mengharapkan bantuan ibu bapa. Pada hari kedua dan berikutnya, saya memantau dari jauh. Terasa pula macam Afdlin Shauki dalam filem Papadom. Saya melihat Intan sebenarnya boleh berdikari sebab dia sangat minat dengan alat tulis dan buku, saya cuma ingin memastikan proses penyesuaian diri berlaku dengan lebih cepat agar dia dapat menumpukan pada pelajaran. Selepas dua tahun di tadika, dia masih belum lancar membaca. Tetapi saya percaya proses itu dapat berjalan dengan cepat dengan sedikit usaha.

Pada hari kedua, isteri saya sudah menempah van untuk Intan ke sekolah. Saya merasakan ianya terlalu awal. Saya masih ingat, sepanjang darjah satu, saya dihantar dan dijemput oleh bapa. Darjah dua baru saya dihantar dengan van abang Mustakim yang juga tinggal di Taman Seri Tebrau, Johor Bahru.

Waktu tengahari, saya pergi menjemput Intan di tepi kelas. Namun dia dengan yakin menyatakan dia tahu macam mana nak balik sendiri dengan van. Masalahnya bila sampai di pintu pagar, dia mula keliru van yang mana satu. Saya membawanya ke van saudara Hafiz. Jam 12.45pm adalah masa murid darjah satu keluar. Disebabkan menunggu pelajar-pelajar lain, hampir pukul 2.00pm baru Intan sampai ke tempat asuhan. Saya mengekor dengan kereta van tersebut. Kanak-kanak lain nampak teruja dengan aksi saya mengekor van dengan kereta. Sebenarnya rumah dan sekolah hanya dua minit masa memandu. Hari-hari yang berikutnya saya menjemput Intan sendiri, mungkin pada hari yang saya sibuk, dia akan pulang dengan van.

Saya lebih melihat aspek keselamatan semasa waktu menunggu iaitu hampir dua jam. Semasa menunggu kanak-kanak selalu berlari ke sana sini , hanya bergantung kepada pemandu van untuk memantau. Yang keduanya adalah anak akan keletihan menunggu di tempat yang panas dan yang ketiganya pembaziran masa.

Masih jauh perjalanan Intan Denissa , begitu jua adiknya Mohd Adam Fariz yang bakal memasuki darjah satu tahun hadapan. 7 tahun berlalu dengan pantas. Jika 7 tahun lalu saya menyambutnya di Hospital Kulim dalam keadaan yang serba lemah, menunggu hampir 21 jam sebelum dilahirkan, kini dia mampu menjalani kehidupan sebagai pelajar, bebas berjalan ke sana sini. Memang saya perhatikan Intan suka berjalan ke sana sini, membantu mengasah pensil rakan-rakan sekelas. Kerja amal Intan di sekolah. Sungguh sekejap 7 tahun berlalu rasanya, mungkin semakin hari tahun-tahun dalam kehidupan kita berlalu bagaikan kapsul masa, sepantas cahaya melewati usia. Di mana pula saya berdiri 7 tahun lagi, di mana pula halatuju kenderaan masa . Semoga semua sejahtera , berjaya dan terus mencetus revolusi.

Link ke Portal sekolah Temenggong Abdul Rahman Satu : http://www.star1jb.edunet.my/index.html

Memori-memori lain semasa Darjah Satu (1981):


1. Rakan sebelah berak dalam seluar - belakang kelas ada satu kabinet untuk seluar sementara - keadaan seluar recycle amatlah mengerikan.
2. Mrs Tan mengajar subjek Bahasa Malaysia - nyanyi lagu Kueh Koci ( saya langsung tak tahu
apa benda kueh koci masa tu)
3. Kena serang lebah semasa pendidikan jasmani - saya lari sepantas kilat balik ke kelas - ada rakan yg lain kena sengat
4. Di luar perkarangan sekolah ramai penjaja - ramai sungguh , tak macam sekolah hari ini - penjaja tidak dibenarkan berniaga lagi.
5. Sekolah Temenggong ada unit OKU atau Terencat akal - pernah saya kena penampar dengan budak terencat akal sebab masa main guli terbaling batu , kena pada seorang girl dia.
6. Persembahan pertama saya atas pentas Dewan Sekolah Rendah Temenggong, saya berlakon jadi kambing - dapat hadiah water color.
7. Pengetua masa tu nama En Karim - dressing sentiasa kemas. Cikgu Pengawas En Jalaluddin Hj Lemin . Ustaz pertama saya adalah Ustaz Mohd Dom.
8. Lagu atau Rhymes English pertama adalah ..Hey Diddle, diddle the Cat and the fidle the cow jumped over the moon, the little dog laughed to see such sport and the dish ran away with the spoon...(nostalgia sungguh lagu ni)
9. Setiap hari semasa sarapan, abah ajar saya baca buku English, tak pernah miss...mungkin sebab tu subjek English tak pernah jadi subjek Fobia sampai la ke Universiti.
10. Masih ingat waktu kena hantar kertas periksa masa darjah satu, guna pemadam nak padamkan pensil warna yang tersilap, sampai koyak kertas periksa. Loceng dah bunyi tapi kerja belum siap. Tinggal sikit saja waktu rehat, kelam kabut lari ke kantin beli makanan. Sempat beli keropok saja untuk makan pukul 10 pagi. Itulah cabaran exam pertama !!
11. Lagu Sekolah...ingat sikit2 la..."Temenggong Abdul Rahman...., sekolah yang ku cinta, sentiasa, berusaha, itulah cogankata...dari sekolah ini, kita dapat didikan...bersama...bersama pelajaran....(itu saja yg ada dalam corrupted harddisk nih...yg lain semua lagu2 Battlestar Gallactica, Buck Rogers, Blues Gang, Catch the Pigeon dll...) - masa tu Alleycats tengah meletup dengan lagu "Andainya aku Pergi" ...

Vision Accomplished

Vision Accomplished