Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Nota : Bagi yang belum menonton Filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan, pergilah menonton dahulu sebelum membaca ulasan saya di bawah. (Spoiler Alert).
Kaveat (Caveat) : Saya tidak terlibat dalam mana-mana badan Politik, institusi keagamaan/bangsa atau mana-mana NGOs. Segala ulasan adalah bersifat peribadi, berdasarkan pengalaman saya dalam menonton filem-filem , tempatan serta antarabangsa. Saya juga tidak dibayar untuk membuat ulasan ini . Ulasan blog ini sekadar mengisi masa lapang, hobi, latihan penulisan serta pengolahan pemikiran.
Pertama sekali, jutaan tahniah kepada penerbit filem, pengarah, kru, barisan pelakon serta kesemua yang terlibat dalam produksi Filem Mat Kilau kerana berjaya menghasilkan sebuah filem tempatan yang bertaraf epik serta menghasilkan fenomena yang luar biasa. Setakat ini, filem ini berjaya membuat kutipan lebih RM80 Juta. Walau apapun ulasan saya di bawah, ianya tidak akan mengubah fakta bahawa filem ini adalah sebuah karya serta usaha seni yang terbaik dari segi kutipan panggung. Saya hanyalah penulis yang membuat ulasan secara jujur , mengikut sudut sisi pengalaman peribadi dan juga perbandingan dengan filem-filem yang pernah saya tontoni. Saya ulangi kaveat di atas, saya tiada kepentingan politik, agenda peribadi, pengaruh , perniagaan atau terlibat dalam mana-mana propaganda sama ada untuk menyanggah atau menyokong filem ini.
Secara jujurnya, saya bukanlah seorang yang gemar ke pawagam untuk menonton filem (terutamanya filem-filem tempatan). Bagi saya, cukuplah sekadar menonton di Astro, Youtube Premium , Netflix dsb. Namun, fenomena filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan agak luar biasa. Ianya telah berjaya menjentik hati saya berulang kali untuk memaksa diri hadir ke kerusi pawagam untuk menonton sendiri. Sekiranya saya tidak suka sekalipun, tentu ada sesuatu yang boleh saya pelajari dan dapat menafaat daripada tontonan filem ini.
Secara jujurnya , saya tidak pernah ke pawagam untuk menonton filem-filem karya saudara Syamsul Yusuf sebelum ini. Mungkin genre pilihan beliau tidak menarik minat saya (Genre Seram, Polis, Gengster) . Tetapi yang lebih nyata adalah saya agak kecewa dengan kualiti atau jalan cerita kebanyakan filem-filem tempatan (yang saya tonton sebelum-sebelum ini di pawagam). Kali terakhir saya berada di pawagam adalah untuk menonton sebuah filem genre Adiwira tempatan, sekitar tahun 2015. Rasanya tidak perlu saya sebutkan nama filem tersebut, tetapi cukuplah sekadar saya mengatakan bahawa, saya cuma mampu bertahan selama 30 min di pawagam dan terus beredar meninggalkan panggung. Sejak daripada pengalaman itu, saya agak keberatan untuk melaburkan duit dan masa bagi menonton filem-filem tempatan. Namun, tidak dinafikan, ada juga filem-filem tempatan yang menarik dan berkualiti dari segi jalan cerita dan idea, tetapi kebiasaannya akan dipertontonkan semula di TV/Astro waktu musim perayaan.
Berbeza dengan filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan , strategi pemasaran di media sosial serta data kutipan telah menunjukkan sesuatu yang luar biasa tentang filem ini. Sejujurnya, dua minggu pertama, saya telah beberapa kali cuba untuk hadir ke pawagam, namun setiap kali saya ingin membeli e-ticket, tidak banyak kekosongan kerusi (lokasi strategik atau kerusi favourite). Maka semalam 16 Julai 2022, rasanya setelah hampir sebulan tayangan, saya menempah tiket serta memaksa diri untuk hadir ke pawagam slot 11.30 pm. Untuk mengelak kekecewaan yang berulang, saya telah membuat penetapan minda yang filem ini pasti tidak mencapai piawaian peribadi saya seperti mana yang pernah berlaku bagi filem-filem tempatan sebelum ini. Saya juga bertanya pendapat dua orang anak saya yang telah menonton filem Mat Kilau, seorang (anak lelaki berumur 18 tahun) berpendapat filem ini amat menghiburkan kerana banyak aksi dan seorang lagi (anak perempuan berumur 19 tahun) berpendapat " Top Gun Maverick " lebih menghiburkan. Saya juga mengambil kira pendapat rakan-rakan di media sosial , yang kebanyakannya memberikan ulasan yang positif.
Setelah menonton filem ini , berikut adalah ulasan jujur peribadi saya dan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu :
Pemilihan barisan pelakon (7/10) :
Dato' Adi Putra sebagai Mat Kilau (8/10) : Beliau berjaya membawa watak Mat Kilau dengan baik dan berkesan. Teknik dialog beliau adalah jelas dan mimik muka berjaya memaparkan kepimpinan Melayu yang tenang (cool) dan bijaksana (Wisdom). Aksi persilatan beliau juga nampak kukuh dan mantap.
Begitu juga dengan saudara Beto Khusairy , seorang yang berpengalaman dalam bidang lakonan, membawa watak Wahid ( 8/10) iaitu rakan baik Mat Kilau. Beto sangat natural dalam membawa watak "protagonist" dan memberikan impak kepada penonton. Aksi silat beliau juga setaraf dengan aksi yang dipamerkan Dato Adi Putra. Saya bukanlah seorang pesilat , jadi saya tidak dapat memberikan ulasan teliti sama ada pergerakan silat mereka adalah asli atau tidak, tetapi sebagai penonton awam, ianya mencapai matlamat sebagai tahap filem tempatan . Sekiranya dibandingkan dengan filem-filem antarabangsa , ianya masih belum mencapai mutu yang setaraf contohnya filem-filem lakonan Tony Jaa, Jason Statham, Jacky Chan , Jet Li, Donnie Yen dan lain-lain ) di mana aksi lawan mereka jauh lebih mengujakan serta lebih dramatik.
Watak Awang ( 7/10) lakonan Fattah Amin, bagi saya tidaklah memberikan satu impak sebagai watak separa hitam yang kembali putih. Beliau, sebagai watak ketiga utama mungkin perlu diberikan lebih aura untuk mengusik emosi penonton. Mungkin umur seperti saya bukanlah sasaran penonton (Target Audience) untuk filem ini, namun saya melihat dari sudut yang lebih besar bagi sebuah filem yang mengutip jutaan ringgit.
Watak-watak yang lain seperti Tok Gajah, Pembesar-pembesar Melayu , rakan-rakan Mat Kilau yang lain , hanyalah bertaraf biasa-biasa sahaja dan tidak begitu memberikan impak dalam sesebuah filem yang besar seperti ini. Biasa-biasa di sini bermaksud kita sudah biasa melihat lakonan mereka sebegitu.
Contohnya watak Dato Rahim Razalli, lakonan beliau sudah sinonim membawa watak sebegitu, hampir sama dalam Puteri Gunung Ledang. Begitu juga watak-watak seperti Dato Jalaluddin Hassan, Shahruddin Thamby, Namron dan sebagainya. Watak Usop (lakonan Khir Rahman) pula yang sinonim dengan kumpulan J-Born serta filem Rock , seolah-olah mengganggu konsentrasi saya kerana beliau lebih sesuai dan berjaya membawa watak-watak komedi. Umpama meletakkan Jim Carrey sebagai Adiwira dalam Avengers. Begitulah anologinya. Maaf ya Khir Rahman. Anda bagus, cuma di tempat yang salah. Dan saya tidak faham kenapa penting sangat watak Usop sehingga Mat Kilau dan rakan-rakannya memujuk beliau hingga ke rumah. Agak kurang jelas.
Watak-watak hitam seperti Captain Syers ( 5/10) , Toga (5/10) seolah-olah tidak begitu berkesan dalam membangkitkan kemarahan (saya) apabila menonton plot-plot mereka. Contohnya , sebagai watak hitam, karekter Toga sepatutnya saya visualkan sebagai seorang yang sasa , berbadan tegap dan berwajah garang atau berperwatakan psikotik (tidak banyak bercakap). Namun , perwatakan beliau lebih sesuai untuk watak-watak "side-kick comedian". Aksi silat beliau juga tidak menampilkan "Wow Factor" atau "Fuyoo" bagi saya. Saya faham strategi mengambil pelakon Indonesia bagi menempah tiket ke seberang, tapi biarlah bersesuaian dengan watak. Watak pembunuh upahan perlu ada karekter tersendiri dan peminat tersendiri. Lihat sahaja watak seperti Darth Vader, Darth Maul , Lex Luthor, Freddy Kruger, Magnetto, Joker (versi Heath Ledger) dan lain-lain. Watak-watak hitam ini merupakan intipati penting dalam sesebuah filem besar yang ada peminatnya tersendiri.
Disudut yang lain pula ,(maaf cakap), secara zahirnya , ada juga terasa seperti melihat barisan pelakon filem Gerak Khas the Movie (tanpa kehadiran Sarjan Linggam, Inspektor Aliza dan Inspektor Mazlan). Sememangnya filem ini mempunyai genetik Yusof Haslam atau Skop Production , maka tidak hairanlah barisan pelakon yang dimasukkan adalah daripada jaluran genetik yang hampir sama. Saya tidak ada masalah sekiranya lakonan mereka berkesan, cumanya sebagai penonton yang dibesarkan dengan gerak khas , tidak dapat tidak saya terfikir akan perkara tersebut. Maafkan saya sekali lagi wahai Syamsul Yusof.
Seterusnya, watak-watak wanita dalam filem ini agak tidak menepati citarasa peribadi saya atau bukanlah satu formula sebuah filem besar yang epik. Tidak ada satu figura wanita yang menonjol (bukan mendedah atau seksi, tetapi merujuk kepada karekter yang kuat dan memberikan impak di hati penonton). Mungkin kemunculan Ellie Suriaty pada plot permulaan ada sedikit memberikan kekuatan karekter (itupun setakat ON PAR jika dibanding dengan lakonannya di drama-drama TV) , namun watak beliau dimatikan pula di awal kisah. Saya juga merujuk kepada tarikan wajah fizikal (commercial look) untuk mengimbangi wajah komersial Dato' Adi Putra. Sekali lagi, mohon maaf kepada pembaca kerana ini adalah pendapat peribadi saya. Malah saya langsung tidak dapat mengenali mereka (watak-watak wanita) ketika menonton adegan perbualan antara suami isteri . Setelah saya Google, barulah saya perasan watak Rokiah lakonan Zarina Zainoordin peserta AF2 serta Farah Ahmad (memang saya tidak mengenali beliau mungkin sebab saya jarang sekali tengok drama Melayu). Namun , lakonan Farah Ahmad (Yang Chik) agak baik jika dilihat dari sudut komunikasi jelas. Tetapi sepertimana yang dikatakan, ianya tidak dapat mengimbangi watak Dato' Adi Putra. Watak Rokiah (lakonan Zarina Zainoordin) , pada pendapat saya tidak sampai ke tahap mengimbangi lakonan Beto Khusairy yang sangat profesional dalam menyampaikan sesuatu watak. Kalau diikutkan strategi pemasaran (Marketing Strategy), patut saja dimasukkan pelakon-pelakon seperti Emma Maembong, Janna Nick ataupun watak kontroversi Ira Kazar dalam filem ini sebagai watak-watak penggoda kepada Mat Kilau dan rakan-rakannya atau mungkin sebagai tali barut British. Konsep Tiga "TA" : Wanita, Harta dan Taktha. Oklah tambahkan TA seorang lagi, Rozita Che Wan.
Watak-watak tentera Sikh pula , sekiranya diolah dengan lebih kreatif , sepatutnya diwujudkan satu watak yang berpaling tadah (seperti mana watak Finn dalam Star Wars The Force Awakens , seorang Storm Trooper yang berpaling tadah). Ini boleh memberikan sedikit keseimbangan ke atas kritikan sosial yang mengatakan filem ini memberikan impak yang negatif terhadap kaum Sikh di Malaysia. Sekiranya saya adalah pengarah, saya akan mewujudkan sedikit unsur-unsur cinta luar biasa, contohya tentera Sikh yang berpaling tadah itu telah jatuh cinta dengan seorang wanita Melayu tetapi akhirnya terkorban kerana ingin menyelamatkan orang-orang Melayu dan kekasihnya itu . "Wow Factor" bukan ? Bukan susah pun nak wujudkan buat plot-plot sedemikian. Sebagai warga Malaysia yang cintakan keamanan dan kepelbagaian kaum , saya juga kurang bersetuju apabila keseluruhan kaum itu ditonjolkan sebagai watak hitam sepenuhnya sepanjang filem tersebut. Hakikatnya manusia tidak begitu. Islam tidak mengajar umatnya untuk mengambarkan sesuatu kaum lain sebagai musuh. Sepatutnya penerbit atau pengarah perlu lebih sensitif akan hal ini. Saya tidak pasti sama ada wujud unsur-unsur politik (untuk mendapat sokongan orang Melayu) dalam filem ini, sekiranya ada , ianya bukanlah satu perkara yang saya sokong , sungguhpun saya berbangsa Melayu, ada kaedah lain yang lebih positif . Tidak dinafikan , memang perlu ada unsur-unsur patriotik dan kebangkitan dalam jiwa anak Melayu, namun ada cara yang lebih diplomatik dan bijak dalam menyampaikan sesuatu penceritaan. Kita perlu ambil kira penonton-penonton di kalangan kanak-kanak serta generasi yang belum dapat membezakan antara fiksyen dan fakta. Pada pendapat saya pihak penapisan filem perlu lebih berhati-hati dalam meluluskan sesuatu adegan kerana anda akan menjawab di akhirat nanti. Ini adalah antara anda dengan Allah SWT.
Plot dan Penceriteraan : ( 7/10)
Maaf, saya tidak boleh memberikan rating melebihi 7 kerana jalan cerita filem ini sepatutnya boleh diolah untuk menjadi lebih menarik dan dramatik. Saya tidak peduli berapa banyak kutipan filem ini, fakta tetap fakta.
Pada pendapat saya, pengarah boleh memulakan (intro) dengan menonjolkan sedikit ulangkaji (overview) tentang sejarah penjajahan British di seluruh dunia (dalam bentuk paparan mudah visual teknologi digital seperti dalam filem Indiana Jones) sehinggalah kedatangan mereka ke Tanah Melayu. Plot ini penting untuk mendidik mereka yang mungkin tidak mengenali tentang sejarah penaklukan British di seluruh dunia.
Plot Mula : Aksi serangan British dan tentera Sikh serta pembunuhan orang-orang tua serta kanak-kanak (secara jelas) boleh saja digantikan dengan cara lain. Besar kemungkinan pengarah mahu memberikan satu adegan dramatik bagi menjentik emosi (terutamanya penonton-penonton Melayu). Jika kita membuat perbandingan, filem-filem seperti Bukit Kepong, sesungguhnya penonton juga tahu (dapat merumuskan sendiri) akan berlakunya kekejaman , kematian kanak-kanak, wanita dan orang tua, namun ianya tidak dipertontonkan secara spesifik sepertimana dalam Filem Mat Kilau. Begitu juga dengan filem Leftenan Adnan (Hairie Othman) dan Kapsul (Faizal Hussein). Untuk plot ini, kita tidak perlu mengikut formula Hollywood kerana kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan keharmonian kaum terjaga di Malaysia.
Plot Mat Kilau dikejar dalam hutan : Pada mulanya , agak sukar bagi saya untuk memahami plot ini. Kenapa pula Mat Kilau dikejar dan melompat (hingga menampakan kasut Capal baru beliau). Setelah tamat plot, barulah saya faham adegan tersebut merupakan sesi latihan Mat Kilau dan rakan-rakannya di hutan. Saya terfikir juga , sepatutnya plot itu boleh digantikan dengan plot imbasan semula (flashback) tentang bagaimana Mat Kilau dan rakan-rakan mula-mula belajar ilmu persilatan ketika usia remaja mereka. Bagi saya plot ini adalah penting sebagai tulang belakang sokongan dan bukti tentang kemantapan Mat Kilau dan rakan-rakannya dalam ilmu persilatan dan pengajian agama Islam. Cara mudah boleh rujuk filem Conan the Barbarian atau Braveheart.
Plot Pembelotan Awang: Plot ini merupakan sesuatu yang boleh dijangka disebabkan ketidakpuasan hati beliau atas perlantikan Mat Kilau sebagai ketua, jadi tidak wujud sangat elemen kejutan (surprise elements) di situ. Wajah Awang pula agak "Baby Face" dan sinonim dengan gaya "Mat Bunga" atau "Office Guy" , impak kekalutan yang cuba dibawa beliau rasanya tidak begitu berkesan pada sudut sisi saya ketika menonton karekter beliau.
Plot Pergaduhan di Jeti Kuala Tembeling : Adegan ini mengingatkan saya kepada dua rujukan filem , iaitu Pendekar Bujang Lapok (Pendekar Mustar) serta Puteri Gunung Ledang (di mana Hang Tuah lakonan M Nasir bersilat mengalahkan samseng-samseng kampung). Bezanya teknik persilatan dan efek dalam Mat Kilau jauh lebih "advanced" dan menarik. Syabas kepada jurulatih silat dalam filem ini.
Plot British dan Tentera Sikh mencari Mat Kilau dan rakan-rakan
Plot ini umpama ulangan dalam plot intro di mana British mencari tiga pengacau (Mamat dan dua lagi rakan) . Kenapa perlu diulang plot yang hampir sama. Pergelutan antara Mat Kilau dan rakan-rakan bertempur dengan tentera British juga agak tergantung apabila watak Awang mencelah membuat perjanjian dengan tentera British.
Plot pembunuhan isteri Wahid (lakonan Beto Khusairy/Zarina Zainoordin) : Plot ini pula mengingatkan saya akan filem Kapsul (Lakonan Faizal Hussein) , Leftenan Adnan (Lakonan Hairie Othman) atau mungkin juga sedikit plot dalam Bukit Kepong (arahan Dato' Jins Shamsuddin). Sesuatu yang boleh dijangka dan tidak ada pembaharuan dalam "content" sesebuah filem aksi gaduh. Benar atau tidak ? Anda boleh nilaikan sendiri. Adegan Mat Kilau mencekup mulut Wahid boleh diberikan sedikit kredit kerana ianya berjaya membangkitkan suasana klimaks dan cemas.
Plot menyelamatkan Wahid dalam tawanan (lakonan Beto Khusairy) (6/10) : Jalan cerita tiada elemen kejutan. Seolah-olah melihat Rambo 2 di mana Julia Nickson menyelamatkan Rambo di kem tahanan. Babak mendera Wahid tidak cukup "Brutal" dan tiada pembaharuan babak. Aksi-aksi silat dengan Teknik Gegaran Skrin hanya memeningkan kepala saya. Letupan-letupan yang berlaku tidak cukup meletops. Masih banyak yang perlu dipelajari dari filem-filem Hollywood ataupun filem Hong Kong. Kami bayar duit, maka kami mahukan efek yang setimpal dengan harga tiket.
Plot berbincang dengan orang Kampung (Tok Gajah, Mat Kilau dan orang-orang Kampung) (3/10) : Plot ini agak lemah kerana watak-watak yang dipilih untuk bersuara umpama "Mat Pacak" yang dibayar gaji hari (maaf sebut) . Sungguhpun plot ini bukanlah elemen utama dalam penceriteraan Mat Kilau, sepatutnya pengarah lebih berhati-hati dalam menyelitkan watak-watak ini agar keseluruhan cerita tidak menjadi cacat.
Plot Akhir (serangan Mat Kilau dan rakan-rakan) : (6/10)
Latihan silat dalam gua mengingatkan saya kepada filem 6 Jahanam. Manakala aksi membuat jerangkap samar sangat sinonim dalam filem-filem aksi perang seperti Rambo, Predator , Home Alone dan seumpamanya. Jadi, merujuk kepada dua faktor ini, tiada pembaharuan idea sebenarnya.
Seterusnya aksi pertempuran antara Kumpulan Mat Kilau dan tentera British adalah lebih menyerupai filem Braveheart , The Patriot (lakonan Mel Gibsons). Malahan pertempuran di tengah padang dengan letupan bom tidak mengambarkan sesuatu yang epik. Ditambah pula dengan ulangan letupan bom dari "Arsenal" yang kelihatan low budget atau dipinjam dari muzium tempatan. Maaf, saya langsung tidak kagum (impress) dengan adegan-adegan perang tersebut, jika nak dibandingkan dengan paluan-paluan atau canang-canang mengenai filem ini yang kononnya rating 10/10. Maaf, saya tidak berpendapat sedemikian. Tapi , tentulah , sekiranya hendak dibandingkan dengan filem-filem tempatan yang lain , maka bolehlah jika hendak diberikan rating 10/10. Syamsul jangan putus asa, ini adalah cabaran untuk anda menghasilkan sesuatu yang lebih "World Class" di masa akan datang. Anda masih muda dan berada di trek yang betul. Teruskan usaha.
Pertempuran satu dengan satu antara Mat Kilau dan Toga juga kelihatan agak meleret dan tidak ada klimaks yang jelas. Saya tidak faham kenapa pengarah perlu memasukkan watak Wahid bertempur dua dengan satu. Sepatutnya, "highlight" atau penekanan patut diberikan kepada Mat Kilau (sebagai hero utama) untuk mengalahkan Toga , satu lawan satu, tanpa perlu campur tangan Wahid. Kecuali, pengarah/penerbit dengan sengaja ingin mematikan watak Wahid. Wallahu'alam. Filem anda, duit anda, ikut suka andalah. Saya hanya memberikan pendapat.
Pengakhiran cerita juga agak tergantung. Pengakhiran sesuatu cerita merupakan satu elemen yang amat penting dalam sesebuah filem dan penceritaan. Penutup perlu ada impak kepada penonton supaya kisah-kisah yang dipersembahkan melekat di jiwa penonton. Saya agak terkejut ketika babak akhir ini, pintu keluar panggung telah pun dibuka sewaktu Mat Kilau memberikan ucapan sambil memapah Wahid. Adalah lebih baik jika diselitkan sedikit elemen ulasan (high level), apa yang berlaku kepada Captain Syers dan British yang lain. Pengarah juga boleh menyelitkan adegan Captain Syre menulis surat permohonan bantuan dari Kerajaan British untuk menghantar lebih banyak senjata/tentera. Ianya sebagai "teaser" untuk sekuel Mat Kilau (jika ada). Anda fikir-fikirkan , nilai-nilaikan.
Efek Perfileman (Special Effect) / Cinematography : ( 7/10)
Diperingkat mula, suasana di tepi sawah, pengambaran filem kelihatan seperti sebuah dokumentari kampung. Bagi saya, 60 saat pertama sesebuah intro filem akan bermain di minda penonton, bertahun-tahun lamanya, maka dengan itu amat penting visual/audio di peringkat ini.
Seterusnya, sebagaimana yang dikongsi oleh ramai penonton, teknik gegaran kamera adalah berkemungkinan teknik yang dipilih pengarah untuk menghasilkan pengalaman dramatik penonton di tempat kejadian. Saya tidak boleh komen secara teknikal berkenaan perkara ini. Namun, jika kita lihat filem-filem luar seperti lakonan Tony Jaa, Jacky Chan, Jet Li , Jason Statham, Van Damme, mereka juga mempunyai teknik-teknik tersendiri dalam merakam visual serta aksi pergaduhan, tidak semestinya memerlukan teknik gegaran kamera sepanjang masa yang mungkin menyebabkan sesetengah penonton mual.
Efek lain seperti letupan , tembakan , parang , "stunts" dan "props", meletakkan sedikit tanda aras yang baru bagi filem-filem tempatan, namun masih belum mencapai piawaian filem-filem bertaraf Hollywood/Hong Kong. Saya boleh bagi rating penuh (10/10) untuk taraf filem tempatan , tetapi sekiranya kita melihat di peringkat antarabangsa , mungkin sekadar 6/10. Saya faham budget tidak sama. Tetapi harga tiket adalah sama antara Filem Mat Kilau dengan Filem Top Gun Mavericj (seingat saya adalah sama). Jadi masalah budget bukanlah sesuatu yang penonton mahu dengar sebagai alasan.
Adegan Mat Kilau berpisah dengan anak dan isteri (di air terjun) , mengingatkan saya pada filem Puteri Gunung Ledang di mana Hang Tuah bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Dari segi sinematogragi, adegan tersebut boleh diberikan kredit disebabkan elemen suasana semula jadi yang cantik, pencahayaan dan garapan warna yang menenangkan mata melihat.
Akhir sekali, saya baru perasan bahawa Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan tidak mempunyai Runut Bunyi atau OST ( Original Sound Track). Agak rugi kerana OST boleh membantu penonton mengimbau kembali momen-momen di sepanjang penceritaan itu. Lihat sahaja filem-filem besar seperti Star Wars, Braveheart , Titanic , Avengers , Zorro, Fast and Furious, kesemuanya tetap akan ada runut bunyi. Namun, sekali lagi, ini adalah hak penerbit , saya hanya menyuarakan pendapat. Saya sebagai pemuzik serta peminat OST, merasakan patut ada koleksi lagu-lagu untuk Filem Mat Kilau.